Hasil seni dan reka bentuk adalah berbayar dan hakcipta Whitey Mommy.
Sila hubungi saya di whiteymommy@yahoo.com untuk sebarang pertanyaan dan tempahan.
Anda TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI untuk mengambil/menyalin/menyimpan
mana-mana bahagian hasil seni dan reka bentuk yang telah saya hasilkan TANPA KEBENARAN!

Pengalaman Malam Lailatulqadar Saya

Mungkin terlalu awal untuk saya ceritakan tentang malam yang sangat indah ini...dimana semua makhluk Allah akan sujud kepada Penciptanya... Subahanallah.... air mata saya mengalir... takut...gembira... celaru... sebelum mula menaip pun saya dapat merasakan apa yang pernah saya alami.... saya perlu coret sebelum saya terlupa... Ini adalah perkongsian berdasarkan apa yang berlaku kepada saya... terpulang pada anda untuk mempercayainya... semua yang baik adalah datang daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datang daripada saya... semoga Allah S.W.T memberkati kehidupan saya... amin...

Pengalaman saya di malam lailatulqadar berlaku semasa saya tingkatan 3... mak saya berkata..[dialog asal adalah dalam loghat kelantan] " malam ni... mak rasa malam lailatulqadar...sebab mak tengok kat langit tiada bintang... kelihatan sangat bersih... sha solat sunat 2 rakaat.... untuk mendapat keredhaan Allah"

saya masa itu ikut apa yang mak saya cakap...saya solat sunat... 2 rakaat... tepat pukul 11 lebih... sebab malam lailatulqadar berlaku sekejap sahaja... saya teringin untuk melihat apa yang berlaku dimalam yang sungguh mulia itu... yang merupakan malam yang mempunyai banyak hikmah... selesai solat sunat... saya pun duduk dan berselawat... dalam hati berniat untuk melihat keadaan malam lailatulqadar itu...

tetapi akhirnya...saya tertidur... Allah S.W.T tidak mengizinkan lagi saya melihat malam itu... saya bangun pada pagi untuk bersahur... dan melihat keadaan air perigi dan pokok2 disekeliling rumah atuk saya

disebabkan rumah atuk saya... masih menggunakan air telaga[perigi berada di dalam rumah]... saya dapat melihat kesan paras air yang berbekas pada bahagian gelang telaga yang paling atas... dan air masih tidak turun sepenuhnya...dalam hati berkata... "Ya allah...besar sungguh kekuasaan mu..." memang tak mungkin...kalau air telaga naik kerana air pasang... takkan sampai ke bahagian teratas gelang telaga...

saya membuka pintu depan... lagi menunjukkan kesahihan... pokok kelapa dan beberapa lagi pokok di depan rumah atuk saya dan beberapa pokok lain... kelihatan sedang membongkok... [dan masa itu tiada angin pun yang bertiup] walaupun tidak keadaan sujud sepenuhnya... tapi ini menunjukkan pokok itu memang pernah bersujud...[saya tak tahu nak explain dengan ayat macam mana] hati saya terdetik..."terima kasih ya allah...walaupun aku tidak melihat sepenuhnya... tapi... aku bersyukur kerana masih dapat melihat dalam keadaan begini"

saya tergamam sangat2...itu sahaja yang boleh saya gambarkan.... [ini cerita yang belaku kepada saya... tanpa direka walau sedikit pun...] semoga allah memberikan petunjuk di dalam hidup saya untuk menemui jalan IHDINASIRATALMUSTAQIM-NYA... amin..amin... saya takut untuk menempuh neraka... tapi saya juga bimbang saya tak layak untuk kesyurganya... "ya allah.. berikanlah petunjuk kepada hambamu...supaya aku dapat hidup bahagia di dunia dan akhirat... amin...amin...

Hayati maksud surah Al-Qadr yang menceritakan tentang malam Lailatulqadar
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Quran, Al-Qadr 97: 1-5)

Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan soleh lain yang dianjurkanIslam.

Kehadirannya dirahsiakan
Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu.

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.

Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka’ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu’awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. “Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27.”

Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.

Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.

Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.

Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. “Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan.”

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.

Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.

Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr

Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.

Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.

Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.

Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.

Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.

Ada yang berkata doa permohonannya makbul.

Apa yang perlu dibuat pada malam al-Qadr

Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah SWT, apa yang perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara berikut:

1.Memperbanyakkan doa kepada Allah/Memohon ampun

Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata: “Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa orang meminum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan mereka yang memutuskan silaturahim.”

Doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aishah. Doanya berbunyi: “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa’ fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).”

2.Menghayati malam tersebut dengan ibadah

Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.

Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.

Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Apa yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi s.a.w ialah tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya Malam al-Qadr.

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w menghidupkan 10 malam terakhir dengan beriktikaf, ramai di kalangan ulama’ cenderung mengatakan bahawa malam tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam al-Qadr.

Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan pegangan, oleh kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan berdasarkan tanda-tanda yang telah Nabi saw ceritakan kepada mereka. Malah, tidak terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah dilihat oleh para sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak mendapat ganjaran Malam al-Qadr!

artikel kredit kepada Razzy.com

Whitey Note: Hati saya sayu dan terasa kebesaran Allah...
 
Copyright © Whitey Mommy™