Hasil seni dan reka bentuk adalah berbayar dan hakcipta Whitey Mommy.
Sila hubungi saya di whiteymommy@yahoo.com untuk sebarang pertanyaan dan tempahan.
Anda TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI untuk mengambil/menyalin/menyimpan
mana-mana bahagian hasil seni dan reka bentuk yang telah saya hasilkan TANPA KEBENARAN!

Pengumuman : Tempahan Blog Design dibuka

Assalamualaikum W.B.T :) dah lama tak update blog, tak sempat lagipun nak karang entry kekadang malas. mood rajin sudah diberikan sepenuhnya pada kerja, dan diakui yang saya adalah bukan blogger tegar. hehehe.

Seperti yang tertera pada tajuk. Tempahan sudah dibuka. Alhamdulillah. Selesai sudah waiting list yang panjang itu.
Sesiapa yang berminat nak menempah boleh rujuk di : Whitey Mommy Design
baca terma dan syarat. dan kalau setuju dengan terma dan syarat boleh lah isi Borang Tempahan

Ini saya sertakan proses dari menempah hingga ke selesai di install ke blog.

1. Baca Terma dan Syarat terlebih dahulu. supaya anda faham macam mana cara saya bekerja. 

2. Jika benar-benar ingin membuat tempahan. Boleh isi borang tempahan .
Saya akan reply email anda dalam masa 24 jam-48 jam. Insyaallah. Jika tidak reply, anda boleh email secara manual kepada saya di : whiteymommy@yahoo.com. Kerana berkemungkinan saya tidak menerima email daripada anda.
Pastikan anda membuat perancangan dan pemilihan yang teliti terutamanya dalam pemilihan warna dan kriteria sebelum menempah

3. Proses perbincangan.
Proses perbincangan antara saya dan anda. Boleh dilakukan secara dua hala, sama ada di chat Facebook atau pun di YM . atau jika anda lebih mudah mahu beremail sahaja pun ok. Ikut keselesaan anda.
Perbincangan dilakukan sehingga saya faham dengan kehendak anda. Supaya mudah untuk saya membina idea yang terbaik untuk menghasilkan blog design  yang menepati citarasa anda.

4. Anda perlu membuat pembayaran mengikut quotation harga yang saya berikan.
Harga untuk blog adalah bergantung kepada kriteria yang anda minta. Kebiasaanya lagi banyak kerja yang perlu dibuat. lagi tinggilah harganya.
Bayaran penuh perlu dilakukan sebelum nama dimasukkan kedalam waiting list. 

5. Nama akan dimasukkan ke dalam waiting list.
Saya akan inform bilangan klien yang menunggu di dalam waiting list saya.
Kerja-kerja akan dilakukan mengikut giliran. Jadi anda perlu bersabar. kerana saya tegaskan, tiada istilah pushing dan rushing  apabila anda order dengan saya. Kalau anda tidak boleh bersabar. Saya sarankan supaya anda tidak membuat sebarang tempahan dengan saya. Seperti anda, klien saya yang sebelum ini pun membuat bayaran terlebih dahulu sebelum masuk dalam senarai waiting list. Lagi pun nak dapatkan rekabentuk blog design  yang cantik. Idea dan perancangan yang baik yang perlu saya lakukan.


6. Saya akan maklumkan melalui email apabila draft telah selesai. 
Saya akan berikan sebanyak 3 kali draft, dan menjadi tanggungjawab anda untuk memberitahu dan senaraikan dengan selengkapnya jika ada sebarang perubahan, penukaran atau penambahan pada draft yang telah saya berikan, kerana saya kurang arif dalam membaca fikiran orang lain. Saya tidak mempunyai sixth sense. Jadi, anda perlu beritahu saya supaya saya tahu. Jika melebihi 3 kali draft saya akan kenakan bayaran tertentu untuk draft ke-4 dan seterusnya.


7. Apabila semua draft telah dipersetujui, saya akan install blog design ke blog anda. 
Anda perlu beri email login (contoh: britney@gmail.com) dan juga password blog anda.

Sesiapa yang berminat untuk menempah boleh lah buat tempahan. Saya tidak mengambil banyak tempahan untuk satu sesi. Apabila tempat sudah penuh saya akan umumkan untuk menutup kembali tempahan. 

Pengubat Jiwa Penglipur Lara

Lama sangat tak update pasal Khalis. My one and only son . Gitew! Banyak gambar dah snap. Tapi sebab malas nak transfer ke lappy edit dan post. Jadi terkubur lah hasrat nak taip entry. Niat nak selalu nak update blog pun menjadi hangat-hangat tahi ayam sudah. Kekonon nak aktif berblog. Walaupun saya tahu tak de orang pun yang baca blog picisan ini.

Hadir Khalis dalam hidup saya hampir 4 tahun yang lal, mengubah banyak perkara didalam kehidupan seharian. Bergelar ibu bukan perkara yang mudah walaupun sebutan yang mudah. So, saya sangat respect dengan ibu yang ada anak ramai. Saya anak satu ni pun terkadang tak terkawal. Itu lah hikmahnya. Saya pun memang tak ready nak ada anak lagi buat masa ini. Umur pun dah agak lanjut ni (cakap macam dah nak masuk umur 40an lah pulak). Sehingga saat ini, bagi saya cukuplah Khalis sorang dulu. Dia lah penghibur, dialah yang meledakan hangin taufan dikala perangainya yang bebukan keluar. Tapi apa pun itu yang buat saya gembira, sedih, sayu, terharu. Khalis memang pandai bermain dengan emosi gitu.

Situasi yang buatkan saya nak marah tapi tak jadi. Setiapkali nak marah dia tahu dia salah. dia akan senyum sama seperti dalam gambar kat atas. Terus tak jadi marah. Kesian pulak tengok. Tapi kalau saya masih marah dia akan cakap "ibu, senyum eh.. senyum" kalau saya buat keras tak mau senyum kat situ lah dia akan menangis.

Disaat saya tengah menangis sedih. Dia akan datang peluk saya, "ibu... jangan sedih tau, jangan sedih" walaupun dia pun memang nak menangis. Tapi dia tahan sambil tenang kan saya. Ibu bangga sangat denganmu nak. Sesungguhnya waktu itu, saya dapat rasa setiap kesedihan yang berlaku dalam hidup saya seakan-akan lenyap bila budak kecil seperti Khalis cuba sedaya upaya nak tenangkan saya. Syukur, semoga Khalis akan membesar menjadi insan yang baik, soleh dan taat pada Allah S.W.T

Kalau paling kelakar pula, time saya marah-marah pasal dia selalu sepah kan toys dia. "Khalis jangan lah sepah-sepahkan toys ni, kemas lah balik. Ibu tak larat nak buat kerja yang sama berulang kali macam ni. Dia akan cakap "baiklah ibu, baiklah. Khalis kemas eh" (tapi dengan suara budak kecik, kalau kita dengar sayu pun ada nak tergelak pun ada. Yang latest ni, penangan tengok filem Wawa Semput. Bila saya membebel je. Dah pandai keluarkan ayat ni "Adui.. sakit pulak hati kite!" Rasa macam nak cubit je mulut dia tau!

Biasanya Khalis bahasakan diri dia "anak" Tak tahu lah mana dia dapat bahasa itu. Mungkin sebab saya selalu bahasakan dengan baba dia anak kot.
Kalau dia poo poo biasanya dia cakap macam ni " ibu, anak ook (berak) ni , jom bashuh jom!.
Kalau dia lapar, "ibu, anak lapar lah, jom makan jom!"

semua pun dia bahasakan diri dia "anak".

Banyak dah Khalis punya keletah. ya lah dah besarkan. Kalau dia nak main phone saya. Tapi saya tak bagi. Cakap tak boleh aje dia akan cakap macam ni.
"ibu nak pinjam boleeh "(perkataan boleh tu ada syle dia sendiri bila cakap, ni memang nak tergelak kalau tengok"
saya akan cakap. "Tak boleh ibu nak guna"
Dia akan jawab" huh! Kelekut! boleeh lah..."

Pandai sangat cakap orang kedekut. Banyak terikut-ikut upin ipin punya style lah ni. Sebab semua skrip dalam upin ipin semua dia hafal.

Ok.. Next time cerita lagi. Banyak sangat.

Rindu Sushi King

Terkadang ada kala rasa rindu pada tempat kerja lama bertamu kat hati saya ni. Sushi King adalah tempat yang pertama dan terakhir saya bekerja. Lepas resign terus buat bisnes kecil-kecilan. Selama 2 tahun saya kerja di Sushi King sebagai outlet manager. Pelbagai pengalaman yang saya dapat.

Dari Sushi King, saya belajar mengenal kehidupan, kenal siapa kawan, siapa lawan, kenal apa itu dunia. Banyak saya belajar daripada Sushi King walaupun hanya seketika. Masih terbayang segar lagi, hari pertama saya masuk kerja di Sushi King. Ulang alik dari hostel ke tempat kerja. Keluar seawal pukul 6 pagi, sampai hostel pukul 12 malam. Penat tu tak payah nak cerita, kerja mana tak penat kan. Tapi walaupun bersulamkan air mata dan kekadang ada perasaan tidak puas hati. Tapi sejujurnya hati gembira kerja di Sushi King. Especially kalau kita berjaya capai target yang ditetapkan. Kita berjaya selesaikan masalah. Outlet terkawal dengan baik. Staf-staf semua puas hati dengan apa yang mereka dapat, staf happy bekerja, hormat antara satu sama lain dan tolong menolong antara satu sama lain walaupun saya sememangnya seorang manager yang agak garang. Tapi garang pun bertempat. wah gitew!

Semuanya hanya tinggal kenangan pada hari ini. Sebaklah pulak nak taip entry ini. Dah lama nak taip entry tapi tak tertaip sebab kemalasan yang melanda. Malam ni, mood sayu dan sebak pulak. Perkara yang dah lepas tak kan berulang lagi. hanyalah boleh diingat sebagai kenanagan.
Buka folder dalam lappy, hanya sekeping gambar ini je yang ada sebagai kenangan saya di Sushi King. Yang lelain semua dalam phone lama yang telah hilang.
Rindu betul dengan team sewaktu saya bekerja dulu. Selepas saya bersalin, saya terus ambil keputusan untuk resign kerja di Sushi King. Sebab saya nak tumpukan untuk susukan Khalis, tambahan rasa bimbang dan risau nak tinggalkan Khalis bagi orang lain jaga. Selain itu ada maksud tersirat lain juga, Staf-staf Nepal saya masa tu pun dah hampir nak tamat kontrak mereka 3 tahun bekerja dengan Sushi King. Saya pernah cakap kepada assistant manager saya pada waktu itu. Saya tak mahu tengok staf dalam team ini meninggalkan saya. Jadi biar saya tinggalkan mereka dulu.

Kedengaran macam pentingkan diri kan? Tapi masa itu saya kan pregnant. Mood sensitif itu lebih sebenarnya. Saya sangat-sangat selesa dengan team saya pada waktu itu. Tapi biasalah, setiap pertemuan ada perpisahan. Cuma dalam masa 2 tahun bekerja bersama. Terlalu banyak perkara yang kami tempuh bersama. We are like a family (baca : Happy Family). Walaupun masa pregnant mood manager ini sentiasa berbuai-buai. Kejap ok kejap tidak. Tapi rasa respect mereka kepada saya buatkan hati saya lagi tersentuh.

Dikalangan staf saya , staf Nepal memang sentiasa saya jaga kebajikan mereka. Tapi ada sesetengah perkara kita tak boleh nak pandai-pandai buat keputusan bila pihak atasan tak luluskan. Sebab itu dengan apa yang mereka hadapi memang saya nak mereka cepat balik, tapi hati pulak sedih sebenarnya sebab dah anggap mereka macam family.

Rindu sangat dengan Sushi King dan teamwork yang dulu. Semoga Allah sentiasa lindungi dan berkati mereka. Semoga mereka semua sentiasa bahagia dan berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Sedihnya. Taip entry mengalir air mata tanpa henti. Banyakkan kita kena lalui dalam hidup. Kekadang setiap kenangan itu yang buatkan air mata kita mengalir dan hati rasa gembira kerana pernah mengenali mereka. Terima kasih buat semua Team Sushi King selayang Mall 2007-2009. :')

Jalan-jalan Jumpa Zain Hakimi

Assalamualaikum W.B.T

Siapa pernah demam terkena Drama Setia Hujung Nyawa? Mesti ada kan diantara kalian semua. hehehe. Saya pun terkena demam juga hari tu. Tapi masa kena dah lewat masa tu dah episod 15. Tapi gigih juga menonton di Tonton.com dari episod 1 sampailah episod 14. Kemudian siap download lagi simpan dalam laptop. Senang rasa nak tonton terus je buka.

Hari semalam (3.3.2013) Saya tengok teater. First time tengok teater . Selama ini tak pernah pun tengok orang berlakon in real kan. Tengok kat Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka. Tajuknya Lelaki dari Gua. Penceritaan yang sangat bagus dan jalan cerita yang berbentuk islamik. Banyak kali saya tersentap bila pelakonnya kuatkan suara. tak kurang juga mengalirkan air mata bila pelakonnya menangis.

Awal-awal intro pasal Setia Hujung Nyawa tapi apa kena mengena dengan teater pula kan? Ok! Sebab pelakon teater itu adalah Amar Asyraf, yang pegang watak Zain Hakimi. Hehe jumpa real lagi.

Orangnya peramah, sopan, dan layan aje bila kita ajak bersembang. Itu aje lah tak tahu nak karang apa tentang beliau. Kesimpulannya tidak sombong dan mudah untuk diajak berbual.

Dah jumpa Amar tak kan tak jumpa tunang beliaukan, yes! ini tunang Amar. Arna namanya. Mudah mesra juga orangnya. dan boleh borak panjang-panjang gitu. Tengok gaya ambil gambar ni, ada macam best friend tak? hehe. Hope dapat keep in touch dengan sweet couple ni. They are complete each other. Kesimpulannya mereka adalah sangat sweet. Semoga mereka bahagia dunia akhirat. :) Dan dapat hadapi cabaran rumah tangga pada masa akan datang dengan tenang danbertolak ansur. :)

Tadi Amar ajak pergi makan-makan tapi tak dapat sebab pukul 8 ada appointment. Teater habis dalam pukul 5. Perjalanan nak balik Selayang pun dah ambil masa sampai pukul 6 kan. So saya balik dan say sorry kat Amar melalui Phone je. Insyaallah jika ada kelapangan lagi. Boleh jumpa lagi. 

Terpandang lalu teringin

Assalamualaikum W.B.T Kalau dah nama perempuan tu perempuan juga. Shopping ni memang menjadi kegemaran kan. Orang kata tak makan tak apa asalkan dapat shopping. Betul ke? tapi saya ni sama banyak kot. Nak shopping nak makan juga.

Shopping ni tak boleh buat selalu sebab ada banyak lagi keperluan yang hendak dituntut. Setakat nak puaskan hati sendiri. Kekadang beli juga sepasang baju untuk hadiahkan kepada diri sendiri yang bersengkang mata buat kerja kan. Saya diri dulu sebelum sayang orang lain. Itu salah satu petua murah rezeki juga. Saya selalu ingatkan diri sendiri dan rakan-rakan. Sayang kan diri dulu sebelum sayang orang lain. Tapi sayangkan diri ini bukan bermakna kita pentingkan diri sendiri tapi sayangkan diri lebih kepada hadiahkan sesuatu pada diri sendiri dan juga hargai diri sendiri.
Sentiasa ucapkan sayang kepada diri. Sentiasa meminta maaf pada diri sendiri dan sentiasa berterima kasih kepada diri sendiri. (I'm sorry, please forgive me. I thank you and I love you).

Motif panjang benar intro kan? Nak cerita pasal saya terpandang iklan Zalora (tak mau backlink, dah popular pun tak perlu backlink pun tak pe). Ternampak sportswear yang menarik hati. Aduihai bertabah lah wahai hati. Utamakan yang utama dulu. Kita masukkan dalam wishlist dulu lah jawabnya. Insyaallah kalau ada rezeki dan memang ditakdirkan saya nak memiliki mereka-mereka dibawah ini.. pasti akan menjadi milik saya bukan?

Set Reebok ini yang pertama menyentuh hati saya. Hahaha syahdu tak ayatnya. Kalau syahdu sila bagi hadiah. Saya pakai saiz L. Motif bagi tahu awal-awal. Mana lah tahu tetiba ada orang minta email untuk postkan kepada saya kan. Kwang-kwang. Black always make you look slim.
Set Nike pun mengancam juga. Pergh!!! tak tahan! Sabar-sabar. selesaikan apa yang perlu diselesaikan dahulu.

Ada orang kata, "workout dalam rumah pun nak pakai baju cecantik ke?" Bagi saya pakai baju yang memang dikhaskan untuk workout. Satunya dia ringan dan serap peluh. Fabrik pun memang khas untuk orang yang bersukan kan. So bila kita dah penat bila sapai dipertengahan workout pun kita tak kan rasa badan kita berat. Berbanding pakai baju biasa. Bila kita berpeluh, baju akan serap peluh. Kat situ sebenarnya kita akan rasa berat .

Keduanya bagi semangat untuk buat workout. Dah pakai baju sukan cantik-cantik. Workout pula depan cermin. Berikan kita satu imaginasi untuk kurus dan berbadan cantik. Lagi cepat untuk kita kurus dan cantik sebab kita dalam keadaan happy dan positif.

Ini pendapat peribadi saya lah. Sebab saya memang macam tu. Orang kata saya skema sikit. Tak kisah lah orang nak kata apa. Asalkan kita happy.

Warna Kehidupan

Assalamualaikum W.B.T

Cerita tentang warna kehidupan, saya rasa semua orang pun ada warna hidup dia sendiri kan. Walau apa pun warna kehidupan kita, hidup masih perlu diteruskan terutama apabila sudah terpikul satu tanggungjawab yang mana kita bukan hidup untuk diri sendiri tapi perlu hidup untuk memberikan kehidupan kepada insan-insan disekeliling kita.

Bak kata novel Setia Hujung Nyawa
"Tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan yang berdosa yang tidak mempunyai masa depan" (sumber)

Saya dan kalian pasti punya satu sejarah hidup, tidak kira ianya pahit atau manis. Pasti sesuatu yang kita akan kenang sampai bila-bila bukan? Itu sudah semestinya kerana diibaratkan walaupun sesaat kita melalui sesuatu perkara atau mengenali seseorang kita tidak akan lupa sampai hujung nyawa kita. 
Sumber
Apa pun yang kita alami. Apa pun yang kita lalui. Satu perkara yang saya yakin yang setiap perkara yang berlaku tidak kira baik atau buruk semuanya berlaku dengan izin Allah S.W.T. Dan saya sangat-sangat yakin Allah pasti lebih mengetahui apa sebenarnya hikmah dan kebaikan disetiap perkara yang berlaku kerana Allah maha adil dan Allah maha penyayang. DIA tidak akan membiarkan hambanya berada didalam kesusahan yang berpanjangan. Cuma disaat kita kebuntuan. Jalan sebenarnya yang kita perlukan adalah berfikir positif dan bersangka baik dengan Allah S.W.t.

Saya sendiri tidak lari. Sentiasa mengalami perasaan murung dan putus asa. Tapi kawan-kawan disekeliling yang banyak berikan dorongan dan buku-buku yang dibaca banyak membuka  minda saya untuk mencuba menjadi seorang positif. Kita positifkan diri kita sekeliling kita juga akan positif. Insyaallah. Kawan-kawan dan buku-buku ini juga merupakan satu bentuk pertolongan daripada Allah S.W.T. Allah yang menggerakan hati kawan-kawan saya untuk tenangkan saya dan bagi semangat. Allah juga yang menggerakkan hati saya untuk membeli dan membaca buku.

Setiap yang berlaku semua Allah yang atur. Kita hidup pun Allah yang izinkan. Tiada apa didunia ini yang berlaku dengan sendiri. Semua telah ditulis semua telah dirancang dengan rapi. Allah sentiasa memberi kita untuk membuat pilihan sama ada baik atau buruk Allah tetap akan bagi jika kita mahu. Cuma penghujungnya kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Tapi Allah sentiasa berikan peluang.

Makin hari saya rasa diri saya makin matang. terutama dalam mengendalikan kehidupan. Apa yang mematangkan saya adalah kehidupan saya sendiri. Bak kata orang kalau kita tidak terhantuk kita tak kan tahu macam mana rasa sakitnya terhantuk itu bukan. Begitulah saya. Setiap kehidupan yang dilalui memang sentiasa ditemani dengan air mata. Tapi hari ini saya faham yang setiap yang berlaku sebelum ini adalah Allah nak bagi saya peluang untuk kenal apa itu hidup. Dan saya yakin dan pasti Allah nak berikan sesuatu yang tidak disangka-sangka. Tidak akan kesusahan dan kepayahan yang kekal jika kita sendiri berusaha untuk keluar daripada situasi itu.

Pengalaman adalah guru yang terbaik dalam kehidupan. Tidak kira macam mana pun warna diatas kain kita, setiap warna yang diconteng akan memberikan satu illustrasi yang menarik dan sebetulnya saya sangat sukakan warna. :)

Allah sentiasa tahu apa yang terbaik untuk kita. Yakin  dan terus yakin dengan kuasaNya kerana tiada pengharapan dan tiada pertolongan dan tiada teman yang paling setia melainkan Allah S.W.T

Disaat Allah hendak berikan pertolongan tiada tangan yang dapat menghalangnya dan disaat Allah tidak mahu memberikan pertolongan tiada tangan yang dapat menghulurkan pertolongan.

Dari kecil sampai besar, apa yang saya lalui begitu cukup untuk membuatkan saya menjadi seseorang yang boleh berfikir daripada pelbagai sudut pada hari ini. Cuba terbaik untuk menjadi seorang yang positif walaupun terkadang emosi masih seperti buaian. Tidak kira siapa kita. Asal usul kita. Kehidupan yang kita lalui. Selagi kita usaha dan berdoa serta tawakkal untuk menjadi seorang yang terbaik. Jalannya pasti akan ada.

Jatuh bangun duduk kita. Hanya orang yang betul-betul mengenali dan ingin mengenali kita akan sentiasa berada disisi kita. Tapi Allah S.W.T akan sentiasa berada disisi kita. Siapa pun kita, kita pasti akan ada warna kehidupan sendiri. Sesiapa pun kalau boleh nak warna hidup dia sentiasa ceria dan gembira. Tetapi warna-warna yang kusam dan gelap dan suram itu hadir sebenarnya untuk melengkapkan lagi warna kehidupan kita. :)

Hujung Minggu

Assalamualaikum W.B.T.

Selamat berhujung minggu. Semoga gembira bersama keluarga.
Hujung minggu hari yang relax. Bagi saya hujung minggu hari yang saya berubah jawatan sebagai orang gaji pulak. :D

Kemas apa yang patut dan clear apa yang patut. Rutin suri rumah bekerja dari rumah ni bukannya goyang kaki. Kalau goyang kaki jawabnya rumah akan jadi semak samun. Kekadang saya biarkan juga jadi semak samun, tapi lelama dah sakit mata dan jiwa raga. Tangan dan kaki harus bergerak untuk kemas rumah. Nak bela orang gaji tidak lah mampu. Baik buat sendiri lagi puas hati kan.

Makin hari umur makin meningkat sudah. Jadi orang perempuan ni semua nak kena jaga. Tak nak bagi layut tak nak bagi geleberkan. Wah! Tak sedar diri 2 tahun lagi umur dan menginjak ke 3 siri sudah. Kena lah jaga apa yang sepatutnya supaya sentiasa cergas dan dapat mengelakkan daripada menjemput penyakit yang tidak diigini.

Azam tahun 2013 ni saya nak jalankan gaya hidup yang lebih sihat dan shaping balik badan sebab Khalis pun dah masuk 4 tahun kan. Jadi dia dah perlahan-lahan berhenti menyusu. Boleh lah mula ambil makanan yang kurang kalori.

4 perkara yang saya buat adalah
1. Jaga pemakanan. Bukan diet berlapar tapi jaga kalori dalam makanan. Hadkan kalori ikut keperluan dan kurangkan apa yang patut.
Perlahan-lahan cuba ucapkan selamat tinggal kepada kek, kuih-muih dan ais krim. Walaupun tak dapat nak sepenuh, tapi hadkan pengambilan. tapi kalau Red Velvet memang tak boleh nak tolak. Tak makan nasi pun tak pe. Asalkan ada Red Velvet. Ya! Saya memang penggemar makanan manis. Tapi kurang gemar air manis.

2. Saya cuba jalankan kehidupan yang aktif. Mahu tak mahu mesti rajinkan diri. Tapi setakat ini buat gym dalam rumah sahaja. Sebab rasa jauh dan ambil masa pulak nak pergi ke gym diluar rumah. Saya sediakan peralatan yang simple sahaja. dumbell, yoga matt dan baju yang selesa supaya lebih bersemangat nak senaman gitu. Nak turunkan berat badan dan nak bagi otot menjadi firm saya buat senaman setiap hari (20 minit sahaja - tapi mengikut step yang betul)

mesti matching baru bersemangat. Baju senaman ini atleast kena sediakan 1-3 pasang. Kasut 1 cukuplah. Cari baju yang selesa dan serap peluh. Cotton adalah menjadi pilihan utama. Atau pun apa-apa fabrik yang disarankan untuk sukan .
3. Pengambilan makanan seharian tidak lah begitu cukupkan. Jadi saya memang mengambil supplement untuk keperluan otot (dan senam mesti otot akan cedera juga, jadi nak bagi cepat cure saya ambil supplement ) Sorry.. Memang tak ambil sebarang product untuk kurus (baca: pil pelangsing) zaman dulu-dulu pernah juga guna tapi selalunya tak habis makan pun , sebab pasti akan terbaca tentang bahayanya ubat kurus. :P

4. Untuk mengelakkan organ-organ tertentu melayut kebawah. Saya pakai Elysyle Dx Lingerie yang selesa itu. Wink ;) Semua aspek kena jaga. Orang kata kalau nak jaga betul-betul jangan buat main-main. Kalau buat ala kadar mana nak dapat hasil bukan?

Kuatkan diri dan semangat untuk betul-betul jaga badan gitu. Bukan apa bila berat dah mula mencecah angka 6 atau 7 didepan tu. Badan akan mula rasa penat, lutut makin sakit. Pandang anak, tengok kecik lagi dia. Kalau saya sebagai ibu tak jaga badan dan jaga kesihatan. Macam mana saya nak tengok anak membesar. At least bila anak dah besar saya masih mampu dan larat nak layan dia dan jalan-jalan dengan dia. Insyaallah...:)

Kita gemuk ambil masa 3 tahun tak kan lah kita kurus ambil masa 3 hari bukan? Jadi sabar itu penting. Sabar dalam jaga pemakanan , sabar dalam melihat hasil Insyaallah kalau konsisten dan positif, pasti akan dapat melihat hasilnya. :)

Ok lah! Nak kemas rumah, tetiba ada semangat nak taip entri bila dapat uniform baru untuk senaman. Hehehe

Pengumuman: Tempahan ditutup

Assalamualaikum W.B.T buat semua pengunjung blog ini :)
Cuma nak bagi tahu. Tempahan untuk semua jenis design saya tutup buat masa sekarang. Saya dah pernah inform kat Facebook Page mungkin ada yang tak baca sebab bukan semua like page tu kan. Saya tak announce kat blog akibat kemalasan dan fikiran masih lagi kusut dengan kerja-kerja yang masih perlukan perhatian untuk disiapkan. Jadi tak sempat saya nak publish.

Tempahan sebenarnya lama ditutup dan saya masih dalam proses untuk menyiapkan blog-blog yang ada didalam waiting list sekarang. Saya mohon maaf bagi mereka yang hantar email tapi saya belum reply. Nanti kalau tempahan telah dibuka, kalian boleh lah hantar email semula jika masih berminat untuk menempah dengan saya.

Kerja saya tidak selancar dulu. Maklumlah faktor umur dan komitmen lain sebagai seorang wanita dan ibu. Terima kasih buat mereka yang berminat untuk menempah dengan saya. dan yang sanggup menunggu untuk menempah dengan saya. Hanya Allah yang mampu balas kebaikan kalian. Semoga Allah murahkan dan berkati rezeki kita semua.. :)
 
Copyright © Whitey Mommy™